Aku seorang penganggur

Wah, hot punya tajuk. Aku seorang penganggur secara rasminya. Sebelum ni pun aku dah jadi penganggur apa. Bagi aku kalau pergi kerja hanya untuk tunjuk muka, surf internet, wat kerja bodoh sama jugak la macam penganggur.

Okey, jangan emotional. Aku tahu hati tengah panas sekarang ni. Tapi tak la panas mana pun, at least aku tak perlu lagi berpura-pura ke opis dan buat kerja. Aku bukan pemain wayang. Aku bosan dengan keadaan camtu.

Ramai kawan-kawan aku terkejut kenapa aku resign dan akhirnya menganggur. Susah aku nak explain satu-satu. Biarlah rahsia. Cuma boleh aku citer, aku bukan jenis yang suka duk opis melepak makan gaji buta, at last..tak dapat satu apa pun. Full stop.

Aku menyesal? Resign and then tak dapat kerja. Kerja yang ditunggu tak dapat. Rasanya tak. Aku tak menyesal. Aku percaya, ada rezeki lain yang lebih baik untuk aku. Kalau tidak dapat esok, mungkin lusa, kalau tak dapat lusa mungkin minggu depan, kalau tak dpat minggu depan, mungkin jugak bulan depan. Tak kira bila masanya, pasti ada untuk aku.


Doakan aku.



Utamakan keselamatan

Cerpen: Setulus Cinta (Part 1)

" Anggap saja kita tidak pernah kenal sebelum ini. Lupakan segala kenangan kita bersama", tegas Azman.

Pipi Intan dibasahi manik-manik air mata. Begitu deras bercucuran. Dia tidak mampu untuk menahannya.

"Tapi kenapa? kenapa tiba-tiba awak berubah? Apa salah saya?", Intan inginkan kepastian daripada Azman.

Keputusan Azman untuk berpisah betul-betul meruntuhkan jiwanya. Cinta yang dibina selama empat hampir musnah. Azman tidak pernah bersikap begini. Dia yakin, Azman serius. Dia tidak pernah bergurau dalam hal seumpama ini. Malahan Azman telah berjanji akan mengahwininya akhir tahun ini.

"Kita merancang, Tuhan tentukan segalanya. Mungkin antara kita tiada jodoh. Saya tidak cintakan awak lagi", begitu berat Azman menuturkan kata-kata itu. Setiap patah perkataan yang diucap umpama sebilah sembilu menikam hatinya.

"Apa salah saya? Saya akan berubah. Jangan tinggalkan saya. Saya perlukan awak. Bukankah kita telah berjanji untuk hidup bersama?"

Azman hanya diam seribu bahasa. Dialih pandangannya mengadap sekumpulan kanak-kanak sedang membina istana pasir di pantai yang putih itu. Hari ini, istana impian yang dirancangkannya hancur. Belum sempat terbina. Soalan Intan tak mampu dijawab.

"Kenapa semudah itu? Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak empat tahun lepas, sewaktu hati saya belum dicuri awak?!" Intan sedikit lantang.

Azman tertunduk. Dia mengaku. Dia telah menyakiti hati seorang insan yang paling dia sayang. Hatinya sayu. Manik-manik air mata hampir menitis, namun dia menahan. Tak mahu titisan air itu menitis didepan insan yang dia sayang. Biarlah dia seorang yang tahu. Biarlah dia seorang yang merasa gelora, seksa dalam hatinya.

"Kenapa diam? Cakap saja awak ada perempuan lain!".

Intan yang tadinya lemah memujuk rayu Azman tiba-tiba menyinga. Azman tersentak. Ini bukan Intan yang Azman kenal sebelum ini. Bukan niat hati Intan untuk berkasar dengan Azman, tetapi hatinya kusut. Dia tahu, Intan betul-betul kecewa dengan keputusannya.


"Intan, carilah lelaki lain yang sesuai dengan Intan", Azman ringkas memberi jawapan. Ternyata, itu bukan jawapan bagi soalan Intan.

Hancur luluh hati Intan mendengar kata-kata itu. Azman memang betul tidak cintakannya lagi. Kalau tidak masakan dia sanggup menyuruh Intan mencari lelaki lain. Sedangkan sebelum ini, Azman seorang lelaki yang 'protective' dan cemburu. Pantang ada lelaki yang rapat dengan Intan. Tapi Azman berlainan hari ini.

"Baik. Kalau itu yang awak mahu. Awak jangan menyesal dan jangan mencari saya lagi. Antara kita tiada apa-apa. Titik".

Intan bersuara. Sedih. Walaupun mulutnya lancar menuturkan kata putus itu, namun hatinya amat berat. Jauh disudut hatinya masih cintakan Azman. Kalau tidak masakan air matanya tidak henti bercucuran. Azman juga tahu, bukan itu kata hati Intan yang sebenar, tapi dia hanya diam membisu. Dasar lelaki, tidak mahu meruntuhkan egonya.

***********************************************************************************
bersambung...





Tazkirah Jumaat : Doa

Salam,

Pagi tadi giliran aku untuk bagi tazkirah Jumaat kepada rakan-rakan staff office. Bagi aku bukan tazkirah pun, tetapi hanya sekadar perkongsian. Tolong baca je. Apapun, alhamdulillah sempat bagi 'tazkirah' sebelum aku keluar dari kompeni ni. Dan aku nak kongsi sedikit isi penting 'tazkirah' tadi (ringkasan), moga-moga menjadi panduan dan ilmu untuk yang membaca blog aku ni..Ohye, tajuk 'tazkirah' tadi pasal doa.

***************************************************************************************

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang tafsirannya:

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu."

Doa itu ialah ibadat dan doa itu juga adalah senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya.

Kenapa perlu berdoa?
Berdoa itu adalah merupakan pengakuan seseorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wataala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Berdoa adalah salah satu daripada keperluan bagi mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala dalam segala apa yang dilakukan. Orang yang tidak berdoa bererti menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya akan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."(Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Fadilat berdoa
Doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat besar dan amat banyak, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wataala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wataala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan. Ingatlah berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan Qadak (ketentuan Allah Subhanahu Wataala).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Dari Sulaiman Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada yang boleh menolak Qadak Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Adab berdoa
Adalah menjadi adat dan kelaziman jika kita berkehendakkan sesuatu daripada seseorang, kita akan bersopan santun dan bertatatertib. Maka apatah lagi jika kita memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala tentulah lebih dari itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 55 yang tafsirannya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."

Oleh itu kita dituntut menjaga adab dan tatatertib berdoa agar doa itu dimakbulkan. Di antaranya ialah:
  1. Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah Subhanahu Wataala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
  2. Berdoa mengadap kiblat dan mengangkat dua tangan dan menyapukan kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.
  3. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.
  4. Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala dan penuh harapan dengan limpah kurnia-Nya.
  5. Memastikan sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian adalah daripada yang halal.
  6. Apabila berdoa adalah afdal mengulang-ulang doa tiga kali dan tidak berputus asa serta jangan cepat menganggap doa tidak dimakbulkan.
  7. Janganlah berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang masyhur yang datang daripada Al-Quran, sunnah dan para sahabat.
  8. Doa-doa tersebut juga hendaklah bersifat umum, menyeluruh dan padat. Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ialah yang bermaksud:
"Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada api Neraka."

Waktu dan tempat mustajab doa
Satu per tiga akhir malam dan selepas solat fardu.
Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tuhan kami Tabaraka Wataala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu per tiga akhir waktu malam, Dia berfirman, barangsiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku akan mengabulkan baginya, barangsiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunan-Ku maka Aku mengampuninya."

Sebenarnya terdapat banyak lagi waktu-waktu dan tempat jika kita berdoa pada-Nya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, bulan Ramadan, pada Malam Qadar, Hari Arafah. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat-tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidilqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya, di samping rahmat Allah Subhanahu Wataala yang luas di masjid berkenaan.

Berdoa untuk siapa
Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitulah pula halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 yang tafsirannya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang salih."

Hindarkanlah diri kita daripada berbuat zalim dan menganiaya orang lain, kerana doa orang yang dizalimi itu sangat mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya:

"Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding."


Hikmah Doa Lambat Termakbul
Ibn al-Jauzi menceritakan pengalamannya sendiri yang ditimpa suatu musibah dan beliau telah berdoa bersungguh-sungguh tetapi beliau tidak nampak tanda-tanda akan termakbulnya doa setelah suatu tempoh masa yang agak panjang telah berlalu. Maka datanglah syaitan (dalam bentuk bisikan untuk menyesatkan manusia) dan berkata : ‘Kalau orang yang pemurah tu dah tentu banyak hartanya, luas perbendaharaannya, tetapi jika orang itu bakhil bermakna dia tidak mempunyai apa-apa!’ Syaitan cuba mendatangkan was-was kepada dirinya dengan mengatakan bahawa jika Allah tidak memakbulkan doanya, dah tentu Allah tidak mempunyai apa-apa. Na’uzubillah min zalik! Lalu Ibn al-Jauzi cuba memerangi was-was ini lantas dia berkata kepada dirinya :
  1. Sudah terbukti dengan dalil-dalil yang terang dan akal yang sihat bahawa Allah itu adalah RAJA sekalian raja. Maka adalah layak bagi seorang Raja untuk memperlakukan apa yang Dia suka terhadap hartaNya. Terpulanglah samada Dia mahu memberi hartanya atau tidak. Maka tidak ada alasan lagi untuk mempersoalkan perkara itu.
  2. Dan sudah terbukti juga bahawasanya jika engkau melihat sesuatu itu sebagai kebaikan tetapi hikmah pula mengatakan sebaliknya. Sebagai contoh, seorang doktor yang hendak mengubati pesakitnya, zahirnya apa yang dia lakukan nampak menyakitkan pesakit tetapi lain pula kata hikmah; di situ adanya kebaikan yang boleh menyembuhkan.
  3. Atau mungkin juga jika dilewatkan waktu terjawabnya doa itu ada kebaikannya, dan mempercepatkannya ada kemudaratan. Bukankah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam telah berkata (yang bermaksud) : “Seorang hamba itu akan sentiasa dalam kebaikan selagi mana dia tidak tergesa-gesa (untuk memohon supaya cepatnya doa termakbul); dia berkata : ‘Sesungguhnya aku telah berdoa tetapi belum dimakbulkan’.” (diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’la dan al-Thabarani; sahih li ghairihi)
  4. Mungkin juga doa masih belum termakbul disebabkan dosa atau kekurangan dalam adab berdoa yang tidak anda sedari. Mungkin ada keraguan dalam benda yang anda makan, mungkin juga hati andai lalai ketika berdoa, atau sebab-sebab yang lain.
  5. Perlu juga anda teliti apakah tujuan di sebalik doa anda. Mungkin jika ia termakbul ia akan menambahkan dosa anda atau menghilangkan satu perkara yang baik. Maka di sini, tidak termakbul atau lewat termakbulnya doa adalah lebih baik.
  6. Akhir sekali, mungkin juga lambatnya termakbul doa itu menjadi sebab untuk engkau sentiasa di pintu munajat dan mendekatkan diri kepada Allah; jika engkau dapat apa yang engkau inginkan maka engkau akan jauh dari Allah.

Hikmah doa penuh kesabaran
ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Telah berkata Jibril: "Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hamba-Mu si polan… Maka, Allah menjawab: "Biarkan hamba-Ku itu, kerana Aku mencintai suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepada-Ku)."

Hadis itu begitu dalam maknanya iaitu mengenai hubungan dan rahsia antara hamba dengan Allah. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa serta kerana rahmat-Nya juga, Dia merindui ratapan dan rayuan si hamba.

Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsan-Nya, kita hanya boleh berusaha dan berdoa. Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri kita. Firman Allah bermaksud:

"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkannya berlaku dan Dialah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu Mengetahui daripada apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan." (Surah al-Qasas, ayat 68-69)

Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa?
Bukankah doa itu adalah ujian keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu menunggu dan menunggu harapan yang belum terjawab.

Doa Nabi Musa dan Harun pada ayat 88, Surah Yunus yang berisi mengenai permintaan kedua-duanya supaya Firaun dibinasakan, akhirnya terjawab setelah 40 tahun berdoa.

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa telah bersabda Nabi SAW:

"Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Ada kalanya Allah segera memperkenankan doanya.

Ada kalanya doanya itu dijadikan oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan ada kalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya."

Berkata sahabat: "Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!"
Nabi SAW bersabda: "Allah akan memperbanyakkan pemberian Nya."

Tidak sedikit pun kerugian jika kita sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga janji akan Allah berikan kepada yang bersungguh sungguh berdoa.

bloging from phöne

thtththis iss

Tapai tak masak


Dalam sebuah kampung tinggal seorang ibu tunggal bersama anak-anaknya. Ok kita bagi nama makcik ni Makcik Timah. Makcik Timah seorang yang miskin, kematian suami dan bekerja menjual tapai di pasar. Duit hasil jualan tapai itulah digunakannya untuk membesarkan anak-anaknya.

Suatu hari, seperti mana rutin hariannya, sebelum ke pasar menjual tapai Makcik Temah terlebih dulu mencuba tapai yang diperamnya bagi memastikan tapai tersebut benar-benar masak. Namun hari itu Makcik Temah tersentak, tapainya tidak masak!

' Oh, macam mana nak jual ni?' rungut Makcik Temah kebimbingan sambil menutup kembali bungkusan yang membaluti tapainya.

Kalau tidak masak siapa mahu beli. Kalau tak dijual macam mana nak dapatkan duit untuk belanja.

'InsyaAllah, lepas ni masaklah tapai ni' kata Makcik Temah dengan penuh harapan. Dibukanya sekali lagi bungkusan yang berisi tapainya itu. Masih sama. Tidak masak.

Mahu tidak mahu, Makcik Temah membawa jugak tapainya itu ke pasar. Sepanjang perjalanan ke pasar, dia tidak berhenti-henti untuk berdoa kepada Allah supaya tapainya masak. Sampailah ke pasar, Makcik Temah membuka sekali lagi bungkusan tapainya.

'hurmm..masih tak masak'. Makcik Temah buntu. Tidak tahu apa harus dilakukannya.

Jam terus berputar. Dari pagi hingga tengah hari, dah berkali-kali Makcik Temah memeriksa tapainya. Tidak jugak masak. Makcik Temah hampir berputus asa.

'Tapai ada lagi?' seorang wanita berusia 50-an bertanya kepada Makcik Temah.

'Saya nak yang belum masak lagi' sambung wanita itu sebelum sempat Makcik Temah menjawab soalannya yang pertama tadi.

'Ada. tapi kenapa nak yang tak masak?' Makcik Temah hairan.

'Oh, saya nak bagi kat anak saya dari Mesir. Malam ni dia nak berangkat ke sana. Barangkali, sampai kat sana nanti sempatlah tapai tu masak. Boleh dia makan dengan kawan-kawan kat sana', jelas wanita itu dengan panjang lebar.

'Alhamdulillah..' terpancul dari mulut Makcik Temah.

Akhirnya habis semua tapai yang belum masak itu diborong oleh wanita itu.

*************************************************************************************

Moral of the story dari cerita ni adalah kita hendaklah yakin dengan doa yang kita pohon kepada Allah. Mintalah dari Allah, dan pasti Allah akan bagi. Cuma bagaimana, bila dan di mana semuanya urusan Allah. Seperti cerita di atas, Makcik Temah berdoa supaya tapainya masak dan bolehlah dia menjual tapai itu dan dapat hasilnya. Tapi perancangan Allah lebih hebat.


Blogger Templates by Blog Forum